OGOS 2025

Sarawak Tingkatkan Usaha Jadi Jelapang Padi Utama Malaysia, Sasar Pengeluaran 240,000 Metrik Tan Setahun


KUCHING, 12 Ogos 2025 – Kerajaan Sarawak bakal meningkatkan peruntukan khas bagi memperluas kawasan tanaman padi sehingga 14,000 hektar, dengan sasaran pengeluaran mencecah kira-kira 240,000 metrik tan setahun. 

Inisiatif ini dijangka memastikan keperluan beras di Sarawak mencukupi, sekali gus membuka peluang untuk menembusi pasaran eksport serantau sekiranya pengeluaran melebihi permintaan domestik, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg. 

Pada tahun 2023, kerajaan Sarawak juga telah memperuntukkan RM1 bilion untuk pembangunan sistem pengairan bagi menyokong usaha ini, kata beliau ketika merasmikan Persidangan Padi Kebangsaan 2025 di sini, malam tadi. 

Kawasan yang terlibat dalam inisiatif ini merangkumi Sri Aman, Simunjan, Lundu, Spaoh serta kawasan utara seperti Limbang dan Lawas, jelas beliau. 

“Sekiranya kita berjaya melaksanakan rancangan ini, keperluan padi di Sarawak akan mencukupi. Malah, kita juga mahu memperluaskan kawasan tanaman bagi memenuhi permintaan negara kerana Sarawak masih mempunyai banyak tanah sesuai untuk pertanian,” ujar beliau. 

Datuk Patinggi Abang Haji Johari  menegaskan, jika kapasiti pengeluaran melebihi 240,000 metrik tan setahun, Sarawak berpotensi menjadi salah satu jelapang padi utama negara, setanding dengan Kedah dan Selangor, serta mengurangkan kebergantungan terhadap import beras dari luar negara.

“Kalau MARDI dapat membantu menyediakan benih berkualiti dalam kuantiti besar, kita mampu menanam lebih luas, menghasilkan lebih banyak padi, dan akhirnya mengurangkan kebergantungan kepada import dari Vietnam atau Kemboja,” ujar beliau lagi. 

Premier turut berkongsi kejayaan projek perintis di Gedong yang meningkatkan hasil padi daripada 1.2 tan kepada 8 tan sehektar menerusi penggunaan benih baharu, teknologi moden dan jentera pertanian. Inovasi ini juga membolehkan padi dihasilkan dalam tempoh 24 bulan untuk lima musim, membuktikan bahawa dengan kemahuan untuk berubah dan adaptasi kaedah moden, pendapatan pesawah dapat ditingkatkan secara signifikan.

Beliau turut menekankan peranan penting Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam membangunkan benih padi berkualiti serta memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan di lapangan. 

“Kalau kita ada penyelidikan tetapi tidak diaplikasikan, ia tidak akan memberi impak yang efektif,” tambahnya.

Turut hadir dalam majlis ialah Yang Berhormat Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Ismail, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi & Pembangunan Wilayah Negeri Sarawak (M-FICORD); Yang Berbahagia Datu Sirai Anak Daha, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi & Pembangunan Wilayah Negeri Sarawak (M-FICORD); Yang Berusaha Dr. Azman bin Ismail, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI; serta Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI.